Analisis Semantik dan Wacana Perubatan dalam Media Sosial Pengamal Perubatan di Malaysia
Abstract
Kajian ini meneliti wacana perubatan yang dikongsikan oleh pengamal perubatan di Malaysia menerusi media sosial dengan memberikan tumpuan khusus terhadap analisis semantik dan struktur wacana. Dengan mengaplikasikan pendekatan kualitatif deskriptif-interpretatif, penyelidikan ini menganalisis makna tersurat dan tersirat dalam hantaran media sosial berkaitan isu kesihatan awam, termasuk pandemik COVID-19, vaksinasi, pemakanan, penyakit berjangkit, serta kesihatan wanita. Sebanyak lapan korpus data yang diperoleh daripada pengamal perubatan aktif di platform media sosial dianalisis bersandarkan teori analisis wacana kritis oleh Norman Fairclough (1995), selain disokong oleh teori makna denotatif dan konotatif oleh Roland Barthes (1964 dan 1977) dan diperincikan oleh Geoffrey Leech (1974). Hasil kajian membuktikan bahawa wacana kesihatan di media sosial tidak sekadar berfungsi sebagai saluran penyampaian maklumat, malah bertindak sebagai medium pembinaan persepsi, penzahiran emosi, dan pengukuhan autoriti profesional dalam kalangan masyarakat. Pengamal perubatan didapati mengintegrasikan laras bahasa profesional dengan unsur bahasa popular bagi memastikan mesej lebih rasi dan mudah difahami, di samping memanfaatkan strategi semantik serta retorik untuk meningkatkan literasi kesihatan awam. Secara keseluruhannya, kajian ini menyumbang kepada pemahaman teoretikal mengenai strategi komunikasi perubatan dalam talian serta implikasinya terhadap landskap kesihatan komuniti di Malaysia.